Larry Sng sedia pertahan kerusi Julau

Larry Sng sedia pertahan kerusi Julau, Larry Sng terus bertanding di kawasan tersebut bagi merebut kerusi itu pada Pilihan Raya Umum
Larry Sng Wei Shien

SIBU-- Kenyataan penyandang kerusi Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, yang juga Presiden Pengasas Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk terus bertanding di kawasan tersebut menghangatkan lagi saingan bagi merebut kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Menerusi kenyataan dalam Bahasa Iban di laman Facebooknya hari ini, Sng berkata beliau mahu terus berkhidmat kepada rakyat di Julau.


"Aku tetap bediri kali tu. Ngetan ke penduduk aku, nyambong pengawa nulong rakyat orang di Julau. (Saya tetap akan bertanding kali ini. 

Mempertahankan kerusi saya, menyambung khidmat menolong rakyat di Julau).


"Aku diatu udah nyadi penduduk serta pengundi orang Julau (Saya sekarang sudah menjadi penduduk dan pengundi di Julau),” katanya yang berasal dari Kapit iaitu kawasan Parlimen bersebelahan Julau di tengah Sarawak.


Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika PBM masih menunggu kelulusan menyertai Barisan Nasional meskipun Datuk Zuraida Kamaruddin, yang merupakan presiden parti berkenaan sejak 8 Okt lepas, sebelum ini mengesahkan PBM tidak akan bertanding di Sarawak sekali gus menimbulkan tanda tanya berkaitan kedudukan Sng di Julau.


Sng memenangi kerusi Parlimen Julau ketika bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 apabila menewaskan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Joseph Salang Gandum dengan majoriti 1,931 undi.


Beliau kemudian menyertai PKR pada 2018 dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri pada 2020 sebelum meletak jawatan pada 28 Feb 2021 serta menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Desas-desus turut menyatakan Salang, yang merupakan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), akan bertanding di Parlimen Julau pada PRU15.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar