Notification

×

Iklan

Iklan

Janin di masjid, janin kucing, bukan manusia - polis

| Oktober 27, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-27T14:49:07Z
Perkara itu disahkan oleh Unit Forensik Hospital Kemaman.

CHUKAI— Janin yang ditemukan seorang pekerja pembersihan dalam tandas sebuah masjid di Kampung Labohan, Kertih di sini disahkan bukan janin manusia sebaliknya adalah janin kucing.


Ketua Polis Daerah Kemaman Supt. Hanyan Ramlan berkata perkara itu disahkan oleh Unit Forensik Hospital Kemaman.


"Ujian oleh Unit Forensik mengesahkan bahawa janin yang ditemui bukanlah milik manusia seperti disangka, tetapi sebenarnya janin kucing," katanya kepada Bernama malam ini.


Terdahulu  kira-kira 12 tengah hari tadi, anggota kariah digemparkan dengan penemuan satu janin yang menyerupai janin manusia di atas lantai tandas masjid itu.


Janin yang cukup sifat bersama uri ditemukan seorang pekerja pembersihan dalam tandas wanita di Masjid Kampung Labohan, Kerteh, di sini, tengah hari ini.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan janin yang dianggarkan berusia antara empat hingga lima bulan itu daripada ahli jawatankuasa masjid kira-kira jam 3 petang.


Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku antara 12 tengah malam tadi hingga 12 tengah hari tadi.


"Pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) masjid tidak menemui apa-apa petunjuk atau imej pelaku.


"Kita akan siasat dan buat pemantauan di klinik berhampiran untuk mengesan ibu yang mungkin keguguran. Kita juga minta ibu yang mungkin tak sedar perkara ini berlaku supaya datang memberi keterangan di balai polis berdekatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.           


Menurut Hanyan, janin tersebut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.


Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil segera membuat laporan di balai polis berhampiran.


Sementara itu saksi kejadian, Kariza Budin, 49, berkata beliau menemukan janin tersebut di lantai tandas wanita kira-kira 12 tengah hari ketika ingin melakukan kerja pembersihan.


"Ketika saya masuk ke tandas tengok keadaan kotor dan berselerak dengan tong sampah terlingkup. Selepas diamati Saya nampak ada kantung dan dalam tu macam kepala.


"Memang terkejut, tetapi saya beranikan diri alihkan dahulu janin tu di satu sudut sebelum maklumkan pada ahli jawatankuasa masjid untuk lapor pada pihak yang berkenaan," katanya.

×
Berita Terbaru Update