Isu ketinggalan pembelajaran di DUN Satok ditangani


KUCHING--Program memperkasa bidang pendidikan di  Dewan Undangan Negeri(DUN) Satok diberi perhatian bagi menangani isu ketinggalan pembelajaran dalam kalangan anak muda di kawasan itu  kesan penularan wabak COVID-19 yang lalu.


Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, satu program dilaksanakan untuk membantu pelajar mengejar kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira. 

“Semasa pandemik COVID-19, ramai anak-anak tidak dapat menghadiri kelas fizikal dan ini menyebabkan mereka terjejas dari segi pembelajaran. 


"Ini bukan sahaja berlaku di Satok, malah kawasan lain di seluruh Sarawak," katanya di Program Keibubapaan dan Penerangan Kepada Ibu dan Bapa Murid-Murid Tahap Satu dan Dua Sekolah Kebangsaan DUN Satok di Yayasan Sarawak hari ini. 


Pada majlis itu beliau turut menyampaikan bantuan kewangan  kepada seramai 24 pelajar dari Satok yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, selain  menyampaikan dana Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada Sekolah Kebangsaan(SK) Rakyat, SK Merpati Jepang dan SK Combined.


Menjelas lanjut, katanya, program itu akan dilaksanakan Biro Pendidikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok.

"Seramai 100 pelajar yang terlibat dalam program ini yang dibahagikan kepada peringkat satu (darjah satu, dua dan tiga) dan tahap dua(darjah empat, Lima Dan enam).


"Guru yang terlibat dalam program itu akan memperkenalkan modul untuk membantu pelajar mengejar sukatan pelajaran," katanya.


Terdahulu, Pengerusi Biro Pendidikan PBB Satok Abdul Samat Gany berkata, program itu adalah hasil daripada input yang dikumpul mengenai isu pendidikan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBB Satok yang lalu.

“Dalam mesyuarat lalu, terdapat beberapa isu yang dikemukakan oleh perwakilan mengenai pendidikan dan kami telah mengumpulkan beberapa input untuk meningkatkan pendidikan kanak-kanak di Satok. 


“Jadi hari ini, kita telah memulakan program yang memberi taklimat kepada ibu bapa dan bagi murid tahap 1 kita telah menjalankan intervensi bagi mereka yang masih bergelut dengan kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira, manakala bagi peringkat dua pula, ia sekadar memberi tunjuk ajar kepada mereka,” katanya. 


Abdul Samat berharap program itu mendapat sokongan daripada ibu bapa bagi memastikan keberkesanannya.

Next Post Previous Post