Guna nama Sarawak, tapi pengurusan Semenanjung- Abdul Karim

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING-- "Nama persatuan (guna nama) Sarawak tapi siapa yang menguruskannya sehingga pada satu masa saya tahu ia (Sarawak United FC) diuruskan oleh seseorang dari Semenanjung," kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. 


Beliau berkata demikian bagi mengulas kemelut yang dihadapi pasukan tersebut untuk kekal beraksi di Liga Super yang kini diibaratkan seperti 'telur dihujung tanduk'. 


 

"Saya telah memberitahu mereka untuk datang berjumpa dengan saya namun mereka masih tidak berjumpa dengan saya lagi. 


"Saya tahu terdapat beberapa masalah pengurusan berlaku mengenai itu. Sebab itu saya cakap, jujur. 


"Justeru, kita mahu individu bertanggungjawab bersikap profesional dalam menguruskan persatuan yang menggunakan nama Sarawak," tegasnya menerusi kenyataan di Facebook rasminya. 


Kata Abdul Karim, kemelut itu merupakan perkara yang  menyedihkan buat semua peminat bola sepak di Sarawak kerana pasukan Sarawak United FC tidak dapat beraksi di Liga Super tahun hadapan.


"Namun saya telah menegaskan, pihak kita tidak dapat mencampuri terlalu dalam masalah kegagalan Sarawak United dalam memperoleh lesen kebangsaan untuk bersaing dalam Liga Super 2023," jelasnya. 


Sebelum ini katanya beliau telah diminta mengulas mengenai hukuman yang telah dikenakan oleh Peraturan Pelesenan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu ekoran pengurusan kelab Sarawak United FC tidak menguruskan persatuan dan sektor kewangan dengan baik.


"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, kalau hendak terlibat secara besar di peringkat nasional mesti menguruskan pasukan secara teratur.


"Jadi mereka tidak diberi permit, apa saya boleh buat, saya tidak dapat tentukan," katanya. 


Tambahnya lagi, pihak pengurusan Sarawak United, setakat ini masih tidak mengadakan sebarang perjumpaan dengan kementerian biarpun telah diberitahu beberapa kali. 


Selain itu, Abdul Karim memuji usaha Persatuan Bola Sepak Kuching (Kuching FA) yang berjaya mempamerkan rekod cemerlang dalam kancah Liga Malaysia. 


Katanya, kejayaan pasukan Kuching City FC (KCFC) membuktikan isu kewangan bukan masalah utama dalam meningkatkan prestasi pasukan.

Next Post Previous Post