Notification

×

Iklan

Iklan

Anggota bomba didakwa minta, terima rasuah RM3,000

| Oktober 27, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-10-27T04:47:26Z

SHAH ALAM— Seorang anggota bomba mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000 tahun lepas.


Mohd Nor Abdullah, 38, didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan baginya sebagai penolong penguasa bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang Zon 3 untuk mendapatkan sokongan daripada pihak bomba bagi mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Perbandaran Klang kepada sebuah syarikat.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang Zon 3, Pelabuhan Klang pada 30 Nov 2021 dan 1 Dis 2021, lapor BERNAMA.


Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.


Jika sabit kesalahan, membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Hakim Rasyihah Ghazali membenarkan Mohd Nor diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Selangor selain tidak dibenarkan memohon atau memperbaharui pasport dan menetapkan 29 Nov ini untuk sebutan semula kes.


Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Selangor Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam P.G. Cyril.

×
Berita Terbaru Update