Abang Johari berucap di Forum Perubahan Iklim Tokyo

Abang Johari kelihatan menggunakan fasiliti hidrogen di SEB Pending. Gambar arkib kredit Pejabat Ketua Menteri Sarawak

KUCHING— Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengadakan lawatan rasmi ke Jepun bermula Isnin untuk mengambil bahagian dalam forum sebagai penceramah mengenai isu perubahan iklim.


Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata Abang Johari akan berkongsi pandangannya bersama penceramah antarabangsa lain atas jemputan Kerajaan Metropolitan Tokyo pada forum bertajuk, ‘Time to Act’ climate action movement, to accelerate viable decarbonisation efforts.


Bertujuan penggunaan hidrogen hijau yang lebih meluas di seluruh dunia, forum itu akan berkongsi maklumat dan pengetahuan yang berkaitan sambil menyeru tindakan konkrit untuk mencegah ancaman krisis iklim yang semakin meningkat.


Forum itu bermula pada 12 Okt dengan ucaptama akan disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa Fatih Birol diikuti perbincangan panel.


Ia akan melibatkan Gabenor Tokyo Yuriko Koike; Premier New South Wales Dominic Perrottet; Datuk Bandar Los Angeles Eric Garcetti; Duta India ke Jepun Sanjay Kumar Verma dan Pengerusi Kawasaki Heavy Industries Ltd dan pengerusi bersama Hydrogen Council Yoshinori Kanehana.


Dalam lawatan selama seminggu itu, Abang Johari dan delegasinya akan melawat kilang Toyota Motor Corporation Motomachi dan bertemu dengan pihak pengurusan Sumitomo Corporation. 


Beliau juga akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Sarawak dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd bagi mengembangkan kilang pembuatan sedia ada di Zon Perindustrian Samalaju, Bintulu.


Abang Johari juga dijangka bertemu dengan pegawai-pegawai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, pihak pengurusan Marubeni Corporation dan Eneos Corporation serta melawat Muzium Hidrogen Tokyo dan Tokyo Oi Hydrogen Station.


Beliau akan diiringi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan negeri.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post