Abang Johari beri bayangan Wan Junaidi tidak bertanding PRU15

Abang Johari berkata, Wan Junaidi pernah mengutarakan hasrat untuk tidak mempertahan kerusi Parlimen Santubong.

KUCHING—Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar ‘berkemungkinan besar ‘ tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Wan Junaidi pernah mengutarakan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Santubong, namun beliau (Abang Johari) masih belum memutuskan sebarang keputusan.


“Sebab dia nak (untuk tidak bertanding), lagipun dia sekarang dah berusia 77 tahun… dia nak buat perkara lain, tapi dia tetap akan terus beri pandangan kepada kita (sebagai penasihat GPS).


“Dia dah cakap macam tu, nak buat macam mana…saya belum beri keputusanlah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Jentera Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) PRU15 di sini, hari ini, lapor Bernama.


Turut hadir, Timbalan Premier yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteran Komuniti yang juga Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Seri Fatimah Abdullah.


Wan Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada Abang Johari yang merupakan Pengerusi GPS dan Presiden PBB untuk menentukan masa depan politiknya.


Untuk rekod, Wan Junaidi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah menduduki kerusi Parlimen Santubong sejak 2004.


GPS yang terdiri daripada empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan meletakkan calonnya di kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU15 ini.

Next Post Previous Post