86 operasi banteras judi online sepanjang Jun hingga September


KUCHING--Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menjalankan 86 operasi khas Op Dadu bagi membanteras judi atas talian di sekitar bandar raya Kuching mulai bulan Jun hingga September tahun ini.


Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, hasil serbuan yang dilakukan seramai 89 lelaki dan 12 wanita tempatan telah ditangkap membabitkan jumlah rampasan wang tunai sebanyak RM 16,590.



"Sebanyak 86 kertas siasatan telah dibuka iaitu 74 kes mengikut Seksyen 4 (1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian atas talian.


"Sembilan lagi kes mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian loteri awam tanpa lesen dan tiga mengikut Seksyen 4(1(8) Pusat Panggilan Judi," katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata, sebanyak 35 kertas siasatan telah dituduh mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu perjudian atas talian yang telah dijatuhkan hukuman paling rendah RM 10,000 dan paling tinggi RM 40,000.


"Sebanyak 26 lagi kertas siasatan lain akan dituduh sebaik sahaja selesai.


"Op Dadu akan diteruskan bagi membanteras aktiviti perjudian di daerah Kuching," tegasnya.


Ahsmon berkata, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perjudian di daerah Kuching dengan menyalurkan maklumat dibalai polis berhampiran.

Next Post Previous Post