Tukun tiruan tumpu kepada pemuliharaan marin, pelancongan di Sarawak - Abang Johari

Abang Johari (dua kiri) ketika sidang media selepas pelabuhan tukun terakhir bagi Projek Tukun Tiruan Sarawak (2018-2022) Fasa I di Jeti Kampung Telaga Air, Kuching. Turut kelihatan, Timbalan-timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (duduk dua kanan) dan Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian (duduk kiri) serta dif-dif kenamaan yang lain. Gambar Jabatan Penerangan Sarawak

KUCHING—Sarawak akan melaksanakan fasa kedua projek tukun tiruan di bawah Rancngan Malaysia ke-12 (RMK12), yang memberi tumpuan kepada usaha mempromosi pemuliharaan marin dan ekopelancongan.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelaksanaan projek dijangka bermula tahun depan sebaik sahaja peruntukannya ditentukan oleh kerajaan negeri.


“Berbeza dengan fasa pertama, fasa kedua ini akan mengambil kira beberapa bidang tertentu yang dikenal pasti untuk pembiakan batu karang, dan sekiranya ia menghasilkan impak positif, aktiviti menyelam dan memancing akan menjadi antara aktiviti pelancongan di kawasan itu,” katanya.


Bercakap kepada pemberita selepas melabuhkan bongkah tukun ke-16,800 secara simbolik bagi menandakan siapnya projek fasa satu di perairan Pulau Satang dekat sini hari ini, beliau berkata projek berkenaan setakat ini membuahkan hasil positif sejak ia dimulakan pada 2018.


“Sumber marin untuk nelayan telah meningkat dan ini pastinya menambah pendapatan mereka dan memberi impak positif kepada kehidupan mereka. Memancing tidak lagi bermusim kerana mereka mendapat tangkapan yang baik sepanjang masa. Projek itu sememangnya memberi impak ekonomi yang positif kepada masyarakat pesisir pantai,” katanya.

Pelabuhan tukun terakhir di perairan Pulau Satang.Gambar Jabatan Penerangan Sarawak

Abang Johari berkata projek itu juga menyebabkan bilangan penyu yang direkodkan mendarat di pantai Sarawakturut meningkat, dengan penemuan terbaru dilaporkan di Telok Melano di Lundu dan Taman Negara Similajau di Bintulu.


Selain melabuhkan tukun di sepanjang hampir 1,000 km perairan pantai dari daerah Lundu di bahagian selatan Sarawak sehingga ke Lawas di utara, beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah membentuk Pengawal Pantai Sarawak tahun lepas sebagai satu lagi langkah untuk melindungi kawasan pantainya.


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton dalam kenyataan yang dikeluarkan untuk acara itu berkata Projek Tukun Sarawak Fasa Pertama direalisasikan sebagai Projek Rakyat menerusi peruntukan RM70 juta daripada Kerajaan Negeri.


“Walaupun ada sedikit gangguan akibat pandemik COVID-19, SFC terus maju dan kami berjaya melabuhkan 16,800 tukun dalam 740 kluster yang mengandungi 20 hingga 30 tukun di sepanjang pantai Sarawak dari Tanjung Datu (di Lundu) ke Lawas,” katanya.

-- BERNAMA


Next Post Previous Post