Notification

×

Iklan

Iklan

Tinggalkan norma 'perniagaan seperti biasa', nasihat Petronas kepada peserta minyak dan gas

| September 13, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-13T08:06:24Z
Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

KUALA LUMPUR-- Peserta industri minyak dan gas perlu meninggalkan norma ‘perniagaan seperti biasa’ dalam menghadapi cabaran yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.


Beliau berkata norma ‘perniagaan seperti biasa’ mewujudkan ruang yang terhad untuk peserta meneruskan dan merealisasikan inovasi teknologi yang lebih hebat.


“Industri ini perlu terus memanfaatkan potensi teknologi sepenuhnya yang tersedia untuk digunakan seterusnya menawarkan penyelesaian bagi memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat terhadap tenaga, termasuk penggunaan tenaga secara lebih progresif, mengurangkan pelepasan karbon, melenyapkan jejak karbon dan memberikan penambahbaikan berterusan dari segi operasi,” katanya di sini, pada Selasa.


Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada pembukaan Minyak dan Gas Asia 2022; Pameran dan Persidangan Perkhdimatan Minyak dan Gas Malaysia serta Persidangan Kemampanan Petrokimia, yang diadakan serentak dari 13 hingga 15 Sept, 2022.


Tengku Muhammad Taufik berkata di peringkat global, banyak syarikat dilihat membentuk kerjasama untuk mempercepat langkah menerima guna tenaga baharu dan mencipta pelbagai aliran perolehan baharu di samping berkongsi sumber dan pelaburan.


“Inilah perkara yang mesti kita beri perhatian sebagai kumpulan kolektif,” katanya.


Beliau berkata dalam melangkah maju, Petronas komited untuk terus mempercepat pertumbuhannya dan melonjakkan pelaburan domestik selain mendorong industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) agar meningkatkan lagi sumbangan kepada ekonomi negara.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update