Sarawak rancang bina lebih banyak sekolah moden ala SK Ulu Segan

Abang Johari semasa mengadakan lawatan kerja ke SK Ulu Segan, di Jalan Ulu Sebauh hari ini.


BINTULU—Sarawak merancang untuk membina lebih banyak sekolah moden khususnya di kawasan pedalaman bagi perkasa pendidikan di negeri ini.


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg berkata, konsep sekolah moden ini bagi memastikan anak-anak di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dan dapat maju setaraf dengan rakan-rakan mereka di bandar.


Bangunan SK Ulu Segan, di Jalan Ulu Sebauh yang moden.


“Kita berharap impian untuk membina lebih banyak sekolah moden ini dapat dilaksanakan. Anak-anak di Sarawak akan mempunyai masa depan yang cerah kerana kerajaan sedia ada amat prihatin dan  mementingkan kebajikan rakyat.


Ini terbukti, walaupun kemajuan sekolah di bawah Kerajaan Pusat, namun kerajaan negeri tetap membantu dalam memajukan prasarana serta infrastruktur sekolah,” katanya selepas lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan di Jalan Ulu Sebauh hari ini.


Beliau berkata, SK Ulu Segan contohnya, menjadi satu lagi kejayaan Sarawak dalam membangunkan sekolah rendah yang moden di kawasan pedalaman.


Katanya, sekolah baharu bernilai RM26 juta ini sudah siap sepenuhnya dan bersedia untuk diduduki pada tarikh sesi persekolahan yang akan ditentukan kelak.


"Saya difahamkan sekolah lama sudah uzur selain terdedah kepada bahaya kerana terletak berhampiran sungai yang banyak buaya.


Sekolah yang baharu dan moden ini sekaligus memberikan keselesaan kepada pelajar di kawasan berkenaan," kata Abang Johari.


Beliau menambah, malah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempat berbisik  agar sekolah moden dan canggih ala SK Ulu Segan ini turut dibina di Betong.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pembangunan pusat pentadbiran yang baharu di Jepak Jaya sedang memasuki fasa kedua pembinaannya.


“Ia merangkumi kompleks pentadbiran yang baharu, kompleks beli-belah dan Jambatan Kemena yang menjadi ikon terpenting di Bintulu.


Saya turut difahamkan bahawa Jambatan Kemena yang moden dan berprestij ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023,"katanya.

Next Post Previous Post