Sarawak belanja RM6.7 bilion untuk BKSS, Abang Jo tegaskan perang lawan Covid-19 belum berakhir

Perang melawan Covid-19 masih belum berakhir, Sarawak belanja RN6.7 bilion untuk BKSS, Abang Jo tegaskan perang lawan Covid-19 belum berakhir

KUCHING-- Perang melawan Covid-19 masih belum berakhir, walaupun Sarawak mencapai kejayaan dari sudut vaksinasi, Perintah Kawalan Pergerakan dan sebagainya, tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 


Katanya, rakyat Sarawak harus mengambil langkah pencegahan meskipun negeri ini sudah berada dalam fasa endemik wabak tersebut. 


"Saya ingin mengingatkan semua bahawa perang kita belum berakhir.  Walaupun kita (Sarawak) dalam fasa endemik penyakit ini, saya ingin menggesa agar kita semua mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga diri, keluarga dan rakan-rakan anda.  


"Marilah kita terus mengekalkan langkah-langkah pencegahan kesihatan awam yang baik.  


"Marilah kita semua terus bekerjasama rapat dalam perjuangan untuk melindungi orang yang kita sayangi," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Bersama Barisan Hadapan Covid-19 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.


Mengulas lanjut kejayaan yang dicapai Sarawak, Abang Johari berkata, ini dapat dicapai berikutan pelbagai strategi dan langkah yang dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan, kelancaran proses vaksinasi, petugas barisan hadapan yang berdedikasi dan rakyat yang sangat bekerjasama untuk mengawal penularan virus Covid-19.


Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang telah menganjurkan majlis tersebut sebagai tanda penghargaan Kerajaan Sarawak kepada petugas barisan hadapan, yang telah bekerja keras dan tanpa jemu sepanjang pandemik Covid-19.


"Sarawak amat bertuah, kita mempunyai JPBNS yang berfungsi dengan sangat cemerlang dan berkesan.  


"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pengerusi, Datuk Amar Douglas Uggah di atas kepimpinan yang cemerlang sepanjang kita melawan wabak ini. 


"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pakar perubatan kawalan penyakit berjangkit dan ahli JPBNS lain yang telah memberikan sokongan penuh kepada Pengerusi.


"Bagi petugas barisan hadapan yang berdedikasi, saya bagi pihak rakan sekerja ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anda semua atas kerja yang dilakukan dengan baik," ujarnya lagi. 

Tambahnya, dedikasi dan pengorbanan semua pihak tidak akan dilupakan. 


Mengimbau perjuangan Sarawak menentang wabak Covid-19, Abang Johari berkata, kesan perit kawalan pergerakan di seluruh negara turut memberi kesan kepada rakyat Sarawak dari segi pendapatan termasuk pendapatan isi rumah.


Namun, katanya kerajaan Sarawak menyedari keadaan itu dan telah mengambil langkah ke hadapan dengan melaksanakan inisiatif menyediakan sokongan kewangan melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).


“Sehingga kini, BKSS 1.0 hingga 9.0 memperuntukkan sebanyak RM6.7 bilion untuk membantu rakyat Sarawak dalam pelbagai kumpulan pendapatan, individu dan perniagaan,” jelasnya.


Katanya lagi, Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 pula akan menggalakkan masyarakat berkembang maju berdasarkan penggunaan data dan inovasi.


Beliau menjelaskan, inisiatif ini akan mewujudkan ekonomi yang mampan, keterangkuman sosial dan persekitaran yang kondusif.


“Dari sudut pembangunan ekonomi, Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk menggandakan kapasiti ekonomi daripada RM136 bilion kepada RM282 bilion menjelang 2030 dengan peningkatan sebanyak 8.0 peratus setahun.


Menurutnya, Sarawak menggunakan pemodelan kewangan kreatif melalui kejuruteraan hasil untuk meningkatkan hasil bagi memastikan kedudukan kewangan fiskal. 


Justeru, beliau yakin dapat merealisasikan aspirasi Sarawak menjelang 2030 kerana mempunyai tadbir urus dan pengurusan dana yang baik bagi meneruskan pertumbuhan ekonomi.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.