RM8 juta diperuntuk selenggara sekolah Kem ATM, Hishammuddin

Hishammuddin bergambar bersama kanak-kanak yang tinggal di Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Desa Tun Hussein Onn (DTHO) di sini hari ini.

KUALA LUMPUR—Sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan segera kemudahan sekolah-sekolah dalam Kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Beliau berkata ia adalah peruntukan sedia ada yang akan disalurkan secepat mungkin untuk kerja-kerja selenggara pada tahun ini.


“Namun, saya minta kepimpinan sekolah supaya mereka melihat pada keutamaan (apa yang perlu untuk diselenggara), duit yang terhad ini digunakan sepenuhnya dan dapat dimanfaat oleh seramai mungkin.


“Antara kerja senggaraan yang akan dilaksanakan termasuklah melibatkan kemudahan asas dan pendawaian elektrikal,” katanya dalam sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan Kementah dan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Desa Tun Hussein Onn (DTHO) di sini hari ini.


Menurutnya dengan peruntukan ini, ia bakal memanfaatkan lebih 20,000 pelajar dan lebih 2,000 guru serta petugas sokongan.


Hishammuddin berkata peruntukan yang diumumkan hari ini hanya sebahagian daripada pelbagai lagi inisiatif pendidikan ATM yang telah dan akan dilaksanakan.


"Antaranya, kementerian saya turut merancang untuk memanjangkan inisiatif Studio Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah dan Kelas Abad Ke-21 seperti yang ada di SK (Sekolah Kebangsaan) Kementah ini ke sekolah-sekolah dalam Kem ATM di seluruh negara.


“Perkara ini selari dengan pendirian sepanjang kepimpinan saya di MINDEF (Kementerian Pertahanan) bahawa soal pendidikan dan kebajikan terutama kediaman menjadi keutamaan sepanjang masa,” katanya.


Beliau berkata ia bukan sahaja berkait rapat dengan masa depan anak-anak warga ATM tetapi juga moral dan semangat anggota ATM serta warga pendidik di semua sekolah dalam Kem ATM di seluruh negara.


Mengulas mengenai RKMAT pula, beliau sempat meninjau beberapa blok kediaman seterusnya mendapatkan taklimat mengenai keadaan semasa kemudahan serta infrastruktur di RKMAT DTHO ini dan RKMAT Jalan U-Thant di sini.


"Hasil daripada tinjauan dan taklimat ini, saya ingin memaklumkan bahawa peruntukan sebanyak RM1 juta telah diluluskan MINDEF bagi tujuan senggaraan segera di RKMAT DTHO dan Jalan U-Thant,” katanya.


Hishammuddin berkata dengan peruntukan itu, ia bakal memanfaatkan 1,730 anggota ATM dan 20 warga awam MINDEF di RKMAT DTHO serta 270 anggota ATM dan 12 warga awam MINDEF di RKMAT Jalan U-Thant.


Beliau juga telah mengarahkan supaya kerja-kerja senggaraan ini dilaksanakan secepat mungkin demi keselesaan penghuni dua RKMAT ini.


"Saya sendiri akan pantau pelaksanaannya dari masa ke masa. Kediaman adalah keperluan yang mustahak apatah lagi bagi anggota ATM yang selalu terpaksa meninggalkan anak dan isteri,” katanya.


Hishammuddin berkata ia penting untuk ahli keluarga mereka ditinggalkan dalam kediaman yang selesa dan selamat sekali gus memastikan moral dan semangat anggota bertugas sentiasa di tahap terbaik.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post