Penganggur edar dadah diberkas miliki syabu, ganja bernilai RM 9,127


KUCHING-- Seorang penganggur yang terlibat dalam aktiviti mengedar dadah diberkas kerana memiliki 75.10 gram syabu dan 32.35 gram ganja dianggarkan bernilai RM9,127 di kedai K9 Cafe, Jalan Moyan, di sini malam tadi.


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketika ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan pada jam 11 malam, suspek remaja berusia 20 tahun itu sedang duduk di dalam kedai berkenaan.

Pengangur mengedar dadah ditahan

Menurutnya, ketika tangkapan hendak dibuat berlaku sedikit pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri.

"Dengan dipandu arah suspek, pasukan serbuan pergi ke kenderaan jenis Mitsubishi Lancer yang diletakkan di bahagian parkir belakang bangunan kedai berkenaan.


"Pemeriksaan di dalam kereta menjumpai satu bungkusan plastik hitam mengandungi dadah jenis syabu dan satu bungkusan kecil berisi ketulan-ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dijumpai di dalam 'arms rest' kenderaan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM7,510 manakala ganja dianggarkan bernilai RM1,617.

Penganggur  edar dadah diberkas miliki  syabu, ganja bernilai RM 9,127

"Menerusi soal siasat yang dilakukan suspek mengaku telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selama tiga bulan lalu.


"Suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali di sekitar kawasan Kuching, kita akan berusaha  mengenal pasti dan mengesan pengedar dadah terbabit," ujarnya.


Beliau berkata, berdasarkan saringsn air kencing yang dijalankan suspek didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.


"Suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan permohonan reman akan dipohon hari ini.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya," tegasnya.

Next Post Previous Post