Pencarian pemandu jet ski hilang seluas 96.82 batu nautika persegi hari ini

Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), Pencarian pemandu jet ski hilang
Gambar ihsan Maritim Malaysia


KUCHING--Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) berikutan kehilangan pemandu jetski sekitar perairan Pulau Talang-Talang Besar, Sematan, semalam.


Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman  Md Yunus berkata, keluasan sektor pencarian pada hari ini merangkumi seluas 96.82 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Talang-Talang Besar.


Gambar ihsan Maritim Malaysia


Menurutnya, CARILAMAT diaktifkan jam 10.15 malam tadi selepas Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak menerima maklumat dari Balai Polis Sematan pada jam 10.00 malam semalam.


"Seorang pemandu jetski disyaki hilang di perairan Pulau Talang-Talang besar pada jam 7.30 semalam semasa memandu jetski bersama rakan beliau. 


"Seorang rakan mangsa yang bersama-sama memandu jetski secara berasingan menyedari kehilangan mangsa telah mencari mangsa di sekitar Pulau Talang-Talang Besar namun gagal ditemui dan melaporkan kepada pihak polis sejurus kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mangsa dikenali sebagai Lee Chong Loong, 46, lelaki cina warga tempatan. 


Pakaian terakhir mangsa berwarna hitam bersama jetski berwarna hijau (Seedoo 300HP).


Katanya, sejurus menerima laporan tersebut, MRSC Kuching telah mengatur gerakkan Kapal KM Kota Kinabalu dan Bot KILAT 22 ke lokasi kejadian. 


"OP CARILAMAT ini melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sarawak Coast Guard (SCG) dan sukarelawan dari Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak setempat," ujarnya.


Beliau berkata,keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian pada hari ini baik dengan kelajuan angin 10 hingga 20 km/jam dan ketinggian ombak 0.5 hingga 1.0 meter. 


"Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar pastikan bot dalam keadaan baik dan batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk dan sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut.


"Utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan," ujarnya.


Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 atau MERS 999.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.