Notification

×

Iklan

Iklan

Penagih dadah mengamuk, dua anggota polis cedera ditetak

| September 27, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-27T11:15:10Z
Lans Koperal Mohammad Ridzuan Marsudi mengalami kecederaan parah pada pergelangan tangan kiri dan mendapat rawatan di Hospital Shah Alam. Gambar kredit PDRM

SHAH ALAM—Dua anggota polis cedera di tangan selepas ditetak seorang penagih dadah dalam satu kejadian di sebuah kediaman di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian pada 3.45 petang itu, Lans Koperal Mohammad Ridzuan Marsudi, 31, mengalami kecederaan parah pada pergelangan tangan kiri manakala Inspektor Mohd Zulhusni Hassani, 30, cedera di pergelangan tangan kanan.


Beliau berkata kedua-dua anggota yang bertugas di Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam itu sudah menerima rawatan di Hospital Shah Alam.


"Namun, Mohammad Ridzuan kemudian dirujuk ke Hospital Selayang bagi tujuan pembedahan tangannya dan kini dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan.


Mohd Iqbal berkata sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama lima anggota lain membuat susulan berhubung kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 47 tahun yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda sedang mengamuk.


Menurut beliau, suspek yang sedang mengamuk itu bertindak melanggar sebuah kereta sedan milik abangnya iaitu seorang pesara guru berusia 53 tahun dan bertidak menghempas pasu bunga pada kereta itu selain mengejar saudaranya dengan sebilah parang.


“Pasukan polis tiba di rumah tersebut dan mendapati suspek yang juga seorang penganggur enggan memberikan kerjasama. Suspek kemudiannya bertindak melibas parang ke arah Mohammad Ridzuan sehingga menyebabkan mangsa terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahan diri. 


"Namun tembakan itu terlepas ke udara akibat pergelutan dengan suspek yang terus menyerang menyebabkan mangsa cedera di pergelangan tangan kiri dengan tiga jari tidak dapat digerakkan,” katanya.


Mohd Iqbal berkata Mohd Zulhusni mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan ketika menahan suspek bersama anggota lain. 


Beliau berkata siasatan mendapati suspek tinggal berseorangan di rumah berkenaan dan abangnya tinggal bersebelahan manakala jian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, amphetamine dan tetrahydro cannabinol hydrocarboxy lic acid (THC) serta mempunyai rekod lampau.


Suspek kini direman tiga hari sehingga Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 307/326 Kanun Keseksaan, katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update