Pembantu tadbir ILP mengaku tidak bersalah terima rasuah RM8,890



BUTTERWORTH—Seorang bekas pembantu tadbir di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai, Nibong Tebal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,890 dua tahun lepas.



Mohd Zulkrnin Abdul Rashid, 49, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.


Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan jawatannya sebagai pembantu tadbir gred N22 di institut itu untuk mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat milik anak sulungnya, Syarikat Salam Rizqi Maju Enterprise, bagi perkhidmatan mengambil pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Machang Bubok ke ILP Arumugam pergi dan balik bernilai RM550.


Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan mengesyorkan syarikat sama membekalkan poster COVID-19 bagi kegunaan Jabatan Tenaga Manusia bernilai RM950 serta peralatan pencegahan dan prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19 bernilai RM4,790.


Mohd Zulkrnin juga berdepan dua pertuduhan mengesyorkan syarikat sama untuk membekalkan makanan dan minuman bagi kegunaan institut itu bernilai RM600 serta mendapatkan bekalan jata negara dan pemasangan cermin gelap kenderaan jabatan bernilai RM2,000.


Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di ILP Arumugam Pillai, Nibong Tebal antara 24 Feb hingga 23 Julai 2020 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.


Mohd Zulkrnin, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan perlu menanggung seorang anak yang masih bersekolah dan dia kini dalam proses bercerai dengan isterinya.


Zulhazmi membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu Mohd Zulkrnin perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM.


Mahkamah menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post