Murid pakai jaket bongkar rahsia didera bapa kandung

Polis menahan bapa mangsa yang berusia 29 tahun bagi membantu siasatan. Gambar kredit PDRM

SUNGAI PETANI— Seorang murid lelaki tahun satu di sebuah sekolah di sini, mengalami kecederaan dan lebam pada bahagian kepala, leher dan badan dipercayai akibat didera oleh bapa kandungnya sejak dua bulan lepas.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata kes penderaan itu terbongkar apabila guru kelas mangsa menyedari kelakuan mangsa yang mencurigakan dengan memakai jaket di dalam kelas selain terdapat kesan merah pada wajahnya.


“Perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah terbabit dan selepas memeriksa mangsa, terdapat kesan calar di seluruh badan, bengkak pada siku, luka di bahagian telinga sebelah kiri dan terdapat kesan lebam serta kesan bibir terkoyak.


“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat pada 8 pagi semalam dan polis telah menahan bapa mangsa yang berusia 29 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Katanya, mangsa yang merupakan anak tunggal, sebelum ini dijaga oleh neneknya sejak kecil di Tanjung Dawai, di sini, namun kemudian tinggal bersama suspek dan ibu tirinya sejak setahun lepas.


Zaidy berkata laporan perubatan awal menunjukkan terdapat kesan lebam baharu dan lama pada bahagian kepala, leher dan badan mangsa.


“Bapa kandung mangsa mengaku telah memukul mangsa sejak dua bulan yang lalu kerana mendakwa mangsa tidak mendengar kata dan hiperaktif...mangsa dipercayai dipukul menggunakan rotan, batang penyapu dan senduk plastik,” katanya.


Katanya mangsa telah dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini semalam untuk rawatan lanjut dan akan diserahkan di bawah jagaan ibunya.


“Bapa kandung mangsa yang merupakan pekerja kilang, ditahan di Taman Desa Jaya dekat sini dan direman selama enam hari bermula hari ini. Polis turut merampas tiga jenis peralatan yang dipercayai digunakan bapanya untuk memukul mangsa,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post