MOSTI salur lebih RM254 juta biayai penyelidikan teknologi solar

Dr Adham Baba melawat pameran sempena Program Malaysian Photovoltaic Industry Association (MPIA) Solar Roadshow 2022 di sini hari ini. Gambar kredit MOSTI

JOHOR BAHRU— Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan pembiayaan pinjaman lebih RM254 juta bagi menggalakkan penyelidikan serta aplikasi teknologi dalam industri solar negara sejak 2011 hingga tahun lepas.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah itu, RM14.8 juta diagihkan kepada institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pemegang taruh industri bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) tenaga solar tempatan.


Beliau berkata MIMOS Berhad telah membangunkan empat projek R&D menerusi dana ScienceFund dan Strategic Research Fund dengan pembiayaan RM15.22 juta bagi meningkatkan output kuasa solar dengan penggunaan penjejak axis tempatan dan panel solar berkecekapan tinggi melalui penggunaan bahan termaju. 


“Selain itu, tiga syarikat pakar tenaga bagi perkhidmatan Sistem Solar Fotovoltaik (PV) termasuk pembinaan loji tenaga solar berkuasa 10 megawatt dibiayai agensi pembiayaan MOSTI iaitu Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) menerusi Dana Modal Teroka berjumlah RM16.85 juta,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Malaysian Photovoltaic Industry Association (MPIA) Solar Roadshow 2022 di sini hari ini. Turut hadir Naib Presiden MPIA Datuk Muhammad Guntor Mansor Tobeng.


Dr Adham berkata sebanyak RM207.75 juta pinjaman telah diberikan kepada 23 syarikat tempatan berasaskan teknologi tenaga solar menerusi Malaysia Debt Ventures (MDV) di bawah Program Liquidity Financing For Technology Start-Ups (MDV-LIFTS). 


Sementara itu, Muhammad Guntor berkata MPIA menerusi satu memorandum khas kepada Kementerian Kewangan sempena pembentangan Bajet 2023 telah mencadangkan mengenai pengurangan cukai peribadi sebanyak RM50,000 dalam lima tahun untuk pemasangan panel solar.


“Begitu juga pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), duti import untuk bisnes berkaitan dengan solar panel dan sistem kuasa simpanan bateri.


“Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan tersebut dan kami percaya ia akan menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga boleh baharu sesuaian dengan misi dan sasaran kerajaan,” katanya. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post