Lelaki larikan sekotak tepung gandum diberkas
![]() |
Gambar hiasan |
PASIR GUDANG— Seorang lelaki tempatan yang bertindak memecahkan cermin bahagian tempat duduk pemandu sebuah kereta dan melarikan sekotak tepung gandum dari kenderaan tersebut, berjaya diberkas di Taman Kota Masai di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian itu yang berlaku pada kira-kira 1.15 pagi, disedari oleh jiran mangsa menyebabkan lelaki berusia 31 tahun terbabit cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, katanya mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 30 tahun bersama jirannya itu telah mengejar individu tersebut dan berjaya memberkasnya di sekitar Jalan Pulasan di kawasan taman berkenaan.
"Mangsa kemudiaannya menghubungi dan menyerahkan lelaki terbabit kepada pihak polis bersama peralatan mencuri iaitu sebatang spanar boleh laras selain sekotak tepung gandum milik mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata lelaki itu kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tiga hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.