Latihan sehari cukup buat Gabriel-Julfaddli sambar emas 3M papan anjal

Aksi Gabriel dan Julfaddli dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki SUKMA di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.  Gambar kredit UTUSAN/AMIR KHALID

KUALA LUMPUR— Bergandingan buat kali pertama dan hanya mampu berlatih sehari secara bersama, tidak menghalang wakil terjun dari Sabah merangkul emas acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, hari ini.


Gandingan pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gabriel Gilbert Daim bersama Julfaddli Jali meraih emas pertama acara terjun yang ditawarkan selepas mengumpul 317.37 mata di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.


Walaupun berasal dari negeri yang sama, Gabriel, 20, selaku atlet kebangsaan menjalani latihan di Bukit Jalil, manakala Julfaddli berlatih bersama pasukan negerinya di Kolam Renang Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.


“Beliau baru tiba di sini dua hari lepas dan hanya sempat berlatih bersama sehari… Sebagai penerjun, untuk mendapatkan rentak bagi acara seirama bukan mudah, namun kami berpuas hati dengan prestasi keseluruhan.


“Mana-mana penerjun pun ada cara dan rentak masing-masing, ada yang lompat tinggi, ada yang lompat rendah, jadi saya banyak ikut rentak beliau. Sebelum ini saya berpasangan dengan (seorang lagi atlet kebangsaan) Jellson Jabillin, tapi beliau cedera kali ini,” kata Gabriel kepada pemberita.


Mengulas mengenai prestasi keseluruhan cabaran kali ini, Gabriel selaku peserta paling berpengalaman berkata masih terdapat banyak peningkatan yang dapat dibuat oleh pesaing lain, manakala pihak bertanggungjawab juga harus bersedia membantu pembangunan sukan berkenaan dengan penyediaan fasiliti berkaitan.


Gabriel meraih perak acara 3m papan anjal seirama di Birmingham 2022 baru-baru ini menerusi gandingan bersama Muhammad Syafiq Puteh.


Sementara itu, Julfaddli, 19, mengakui bangga dapat berganding dengan pemenang pingat Komanwel.


“Saya dapat belajar banyak perkara daripada beliau, seperti cara lompatan, pelepasan dan berjalan (secara seimbang) di atas papan,” katanya yang terlibat dalam sukan terjun sejak usia 12 tahun.


Wakil Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim-Yong Rui Jie berpuas hati dengan pingat perak dengan 308.40 mata, manakala Elvis Priestly Clement-Soh Tze Kang (303.84) dari Sarawak membawa pulang gangsa.


Kemudian pada acara platform seirama lelaki, Julfaddli yang bergandingan dengan Mohd Anilrian Normatrud Abdullah, terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas mencatatkan  291.78 mata.


Emas menjadi milik Elvis Priestly-Jared Aiden Harold (334.44) dari Sarawak, manakala Nurqayyum Nazmi-Rui Jie (329.82) sekali lagi menamatkan saingan di tempat kedua.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post