KPLB laksana projek pembangunan infrastruktur asas hampir RM900 juta di Sarawak

Datuk Seri Mahdzir dan delegasi KPLB mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini. Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak

KUCHING—Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membelanjakan hampir RM900 juta bagi pembangunan infrastruktur asas, ekonomi dan modal insan di Sarawak.


Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata perbelanjaan itu merangkumi projek pembangunan infrastruktur asas seperti Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB).



“Bagi 2022, kita (KPLB) ada peruntukan lebih kurang RM900 juta untuk Sarawak dan pada masa yang sama ada juga projek sambungan dari 2021 yang masih belum siap.


“Selain itu, kerajaan Sarawak juga ada beberapa projek prasarana sendiri menggunakan bajet negeri yang juga sedang dilaksanakan,” katanya.


Beliau berkata kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.


Mengulas mengenai pertemuan itu, Mahdzir berkata kerajaan Sarawak dan KPLB bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan bagi semua projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri itu.


“Kita juga akan meningkatkan usaha koordinasi dengan kerajaan negeri agar tiada pertindihan antara bajet negeri dengan bajet KPLB dalam melaksanakan sesuatu projek,” katanya.


Selain itu, Mahdzir berkata setakat ini tiada projek KPLB yang telah dihentikan di Sarawak atas faktor penjimatan kos ekoran pandemik COVID-19.


-- BERNAMA 

Next Post Previous Post