KPDNHEP teliti saranan kawal selia pusat rawatan kecantikan

Nanta Linggi berkata, kementerian mahu memastikan industri ini dilaksanakan dengan teratur dan sistematik demi keselamatan pengguna. Gambar arkib. 


PUTRAJAYA— Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang meneliti saranan mengenai keperluan mengawal selia pusat perkhidmatan rawatan kecantikan di negara ini, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.


Beliau berkata KPDNHEP sentiasa menjalankan sesi libat urus bersama pemain industri kecantikan dan Kementerian Kesihatan (KKM) ) bagi mencari kaedah pengawalseliaan yang terbaik ke atas industri kecantikan di negara ini yang jangkaan nilai pasarannya lebih USD999 juta menjelang 2026.


Beliau berkata KPDNHEP juga meneliti kepelbagaian aspek dalam industri itu antaranya permintaan pengguna, rantaian nilai, penggunaan teknologi dalam trend semasa rawatan kecantikan dan keselamatan pengguna.


“Adalah menjadi perancangan kementerian untuk mengawal selia sektor kecantikan di Malaysia bagi memastikan industri ini dilaksanakan dengan teratur dan sistematik demi keselamatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Pada 9 Dis lepas, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan badan penyelia bagi memantau industri kecantikan di negara ini untuk mengelak berlakunya kemalangan estetik.


Nanta berkata KPDNHEP baru-baru ini telah mengadakan sesi libat urus bersama Kingdom’s Vocational Training Charitable Trust (VTCT), sebuah pusat latihan kecantikan yang diiktiraf oleh Ofqual, sebuah agensi kerajaan United Kingdom (UK) yang melaporkan secara terus kepada Parlimen UK bagi urusan kelayakan dan perundangan melibatkan latihan vokasional termasuk latihan rawatan kecantikan.


Menerusi sesi itu, antara aspek yang dibincangkan adalah pendaftaran pengusaha pusat kecantikan dan pekerja bagi memastikan mereka mendapat latihan kemahiran kecantikan daripada badan yang diiktiraf serta memastikan mesin dan peralatan yang digunakan telah didaftar.


Turut dibincangkan mengenai pengendalian kursus kemahiran, modul dan pensijilan dari badan yang diiktiraf, melindungi pengguna melalui perlindungan insurans serta bahan-bahan dalam rawatan adalah yang disahkan selamat oleh KKM, katanya.


Menurut Nanta, perbincangan itu adalah bagi melihat bagaimana ia boleh diaplikasi di Malaysia, selain memperhalusi keperluan perundangan dan kawal selia secara pentadbiran bagi memastikan industri kecantikan di Malaysia dapat memberikan keyakinan kepada pengguna melalui rawatan yang selamat.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post