Anak Sarawak Award Ke-10 kini dibuka untuk penyertaan

Tarikh tutup pendaftaran dan menghantar penyertaan adalah pada 31 Oktober, 2022.bGambar kredit FB BES

KUALA LUMPUR—Anak Sarawak Award Ke-10 yang memfokuskan kepada industri acara kini mengalu-alukan penyertaan daripada perancang acara perniagaan dari Malaysia dan luar negara yang telah menganjurkan acara di Sarawak, rakan kongsi acara perniagaan yang berdaftar dan media tempatan serta antarabangsa.


Tarikh tutup pendaftaran dan menghantar penyertaan adalah pada 31 Oktober, 2022.


Anugerah itu akan diadakan pada 29 Nov, 2022, bersempena dengan konvensyen tahunan terkemuka Business Events Sarawak (BESarawak), iaitu Business Events Tribal Meet (TriBE Assembly) di Kuching, Sarawak, kata BESarawak dalam satu kenyataan hari ini.


Anak Sarawak Award yang sudah menjadi terkenal kini menampilkan tema ‘Reawakening the Spirit in the Rainforest’ yang melambangkan kebangkitan semula acara perniagaan dan keberanian rakan industri Sarawak untuk menunjukkan keazaman dan kepimpinan selepas berdepan dua tahun yang sukar.


Pencapaian cemerlang dan sumbangan ketara kepada industri akan diiktiraf melalui lima kategori, iaitu Young Leader Award, Business Events Award, Outstanding Achievement Award, Journalism Award dan Sarawak Legacy Award.


“Sarawak Legacy Award ialah kategori terbaharu tahun ini, yang mengiktiraf konvensyen yang menumpukan kepada impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat.


“Pengenalan terhadap kategori ini menandakan impak legasi yang bermula sepenuhnya sejak Sarawak secara rasmi memulakan acara perniagaan yang memberi impak positif dan kesan jangka panjang sebagai hala tuju baharu industri pada 2021,” kata kenyataan itu.


Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sejak Sarawak membuka semula sempadannya kepada dunia pada April, negeri itu telah menganjurkan beberapa acara perniagaan tempatan, nasional dan antarabangsa.


“Pihak berkepentingan seperti persatuan dan rakan kongsi industri menjadi punca kepada kebangkitan yang luar biasa ini dan keazaman, dedikasi dan kesediaan mereka untuk kembali ke landasan yang betul mendorong Sarawak maju lebih jauh dalam arena acara perniagaan global,” katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Amelia Roziman menyatakan bahawa pada dua tahun lepas, banyak perancang acara perniagaan dan rakan kongsi industri terpaksa berhadapan dengan penangguhan, pembatalan dan kehilangan peluang perniagaan itu.


“Tema TriBE Assembly dan Anak Sarawak Award mewakili kemajuan dalam industri acara kami,” katanya sambil menambah Sarawak Legacy Award akan mendorong penyumbang industri untuk berfikir di luar kotak dan menjadi arkitek masa depan yang cemerlang.


Bertemakan ‘Reimagine Our Future’, TriBE Assembly akan menyaksikan persatuan terkemuka, pemain industri, media dan speaker utama dari seluruh dunia mengadakan dialog dan sesi perkongsian pengetahuan, memfokuskan masa depan dalam acara perniagaan.


Ia dijangka menarik lebih 200 pemimpin acara perniagaan dari Malaysia, Asia Pasifik dan Eropah.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post