Notification

×

Iklan

Iklan

Kabinet Sabah setuju hadkan jawatan Ketua Menteri kepada 2 penggal

| September 24, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-24T10:10:50Z

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semasa tiba di Program Jelajah GRS Parlimen Beluran di Dataran Telupid di sini hari ini.


TELUPID—Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya meluluskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.


Katanya cadangan berkenaan akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan datang sekiranya rakyat dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk kerajaan serta pembangkang bersetuju untuk meminda Perlembagaan Negeri berkaitan perkara tersebut.


“Ini kerana mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri melibatkan soal perundangan, justeru Perlembagaan Negeri perlu dipinda melalui Persidangan DUN Sabah.


“Cadangan ini merupakan satu lagi inisiatif yang dibawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional,” katanya berucap pada Program Jelajah GRS Parlimen Beluran di Dataran Telupid di sini hari ini.


Turut hadir presiden dan pemimpin parti komponen GRS antaranya Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Presiden United Sabah National Organisation (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan  Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan. 


Mengenai program berkenaan Hajiji berkata Program Jelajah GRS Parlimen Beluran merupakan siri jelajah keempat, selepas Keningau, Kudat dan Lahad Datu.


"Sudah sampai masanya pemimpin dari parti-parti tempatan Sabah bersatu hati dalam satu wadah iaitu GRS bersama-sama berjuang menuntut dan menjaga kepentingan Sabah. Kita tidak akan berkompromi dalam memperjuangkan dan menuntut hak Sabah seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.


Sementara itu, Ronald berkata program berkenaan mendapat sambutan yang amat positif dan menggalakkan daripada masyarakat di Parlimen Beluran yang dilaksanakan kepimpinan negeri sebagai persiapan menghadapi pilihan umum akan datang.


“GRS adalah gabungan berasaskan Sabah dan sudah tentu perjuangan besar adalah untuk memastikan negeri ini dibangunkan setaraf dengan negeri di Semenanjung dengan mengambil kira hak dan keistimewaan Sabah dalam negara ini.


"Kita ada perjanjian semasa membentuk Malaysia dan apa yang GRS mahu adalah kerajaan Persekutuan melihat perkara tersebut. Kabinet (Persekutuan) ada membentuk jawatankuasa berkenaan perkara ini dan banyak perkara yang telah dilaksanakan, namun banyak lagi perkara yang perlu kerajaan Persekutuan lihat dan ini adalah agenda utama perjuangan GRS," katanya.


Mengenai cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, Ronald berkata ia merupakan cadangan yang baik dan sudah tentu akan disambut baik oleh rakyat sebagai usaha memastikan ketelusan jawatan berkenaan.


"Terserah kepada ADUN untuk menentukan... jika melihat dalam konteks yang luas ini merupakan cadangan yang baik," katanya.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update