'Geng Apik Setan' tumpas


KUCHING--Pihak polis berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal dan kenderaan di sekitar bandaraya Kuching dengan tertumpasnya 'Geng Apik Setan'.


Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pada 20 September lalu, pasukan khas Ops Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuching diketuai Asisten Superintendan Ahmad Naim dan Inspektor Zulsafri serta lapan anggota telah membuat serbuan di empat kawasan di daerah Kuching.



"Serbuan itu telah berjaya menangkap empat lelaki tempatan berusia 21 hingga 40 tahun.


"Kita turut merampas tiga buah motosikal, sebuah van Toyota Hiace yang dicuri kumpulan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata, Geng Apik Setan yang dianggotai empat individu telah aktif sejak awal tahun 2022.


"Modus operandi sindiket ini menggunakan van untuk mencuri motosikal jenama Honda C100, Honda EX5, Honda Wave, Yamaha Y15, Yamaha Lagenda dan Yamaha Ego.


"Sindiket ini menggunakan alat pemutar skru yang telah diubah suai berbentuk T dan menggunakan van untuk membawa motosikal yang dicuri," katanya.



Ahsmon berkata,jumlah kerugian akibat perbuatan jenayah sindiket itu dianggarkan sebanyak RM 60,000.


"Sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan terhadap kumpulan ini.


"Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi setahun dan tidak melebihi tujuh tahun penjara serta denda," tegasnya.

Next Post Previous Post