Notification

×

Iklan

Iklan

DNA sahkan identiti mangsa penipuan kerja di Mae Sot sebagai Zhen Feng

| September 13, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-13T01:27:22Z

BANGKOK—Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan lelaki yang meninggal dunia di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar pada Mei lalu adalah warga Malaysia Goi Zhen Feng, yang dipercayai mangsa sindiket penipuan kerja. 


Keputusan ujian DNA  yang diterima pada kira-kira 4 petang hari ini menunjukkan Goi Chee Kong adalah 99.99 peratus bapa kandung (biological father) kepada mangsa. 


Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum (Pahang) Sim Chon Siang yang membantu Chee Kong  di Bangkok berkata dengan keputusan ujian DNA  itu, pihak keluarga akan membuat permohonan penukaran nama mayat itu ke nama sebenar - Zhen Feng. 


“Selepas itu, upacara pembakaran mayat (cremation) akan diadakan. 


“Kami jangkakan abu mayat mangsa akan dapat dibawa pulang oleh ibu bapa mendiang ke kediaman mereka di Ipoh pada Jumaat atau Sabtu ini,” katanya kepada Bernama. 


Pada September 4, Bernama melaporkan Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun ke Bangkok untuk mencari anak lelaki sulung mereka yang hilang. 


Namun, pasangan  suami isteri yang tiba di Bangkok pada  30 Ogos dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak lelaki mereka yang dikatakan sakit dan menerima rawatan di Hospital Mae Sot telah dimaklumkan Zen Feng sudah pun meninggal dunia 11 Mei lalu.


Lebih menyedihkan apabila mereka mendapat tahu bahawa anak mereka itu menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Myawaddy, Myanmar.


Pasangan itu turut dimaklumkan doktor bahawa mendiang telah didera sebelum dihantar ke hospital oleh kumpulan sindiket penipuan kerja pada 11 April lepas dengan menggunakan nama palsu “Mun Jun Hong” dan nombor pasport palsu. 


Mangsa telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dan meninggal dunia pada 2 pagi 11 Mei sebelum jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi atas nama “Mun Jun Hong” . 

 

Pada 2 September, keluarga mangsa terpaksa mengumpul dana untuk menjelaskan tunggakan bil hospital kira-kira RM40,000 sebelum boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA, pembakaran mayat serta membawa abu mangsa pulang ke Ipoh.


Zhen Feng, pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) berlepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bertemu rakan media sosialnya.


Dia sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya pada 5 Februari. Berikutan itu pada 7 Februari bapanya membuat laporan orang hilang.


Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan sebelum hilang khabar berita.


-- BERNAMA  

×
Berita Terbaru Update