Cadangan lantik pengerusi majlis daerah sepenuh masa dibawa ke Kabinet Sarawak

Cadangan lantik pengerusi majlis daerah sepenuh masa dibawa ke Kabinet Sarawak
Penguang semasa menghadiri program Engagement With Stakeholder Central Zone Local Government di sini hari ini.

SIBU—Cadangan untuk melantik pengerusi sepenuh masa untuk majlis-majlis daerah di Sarawak akan dibawa ke Kabinet negeri tidak lama lagi, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Penguang Manggil.


Beliau berkata pengerusi majlis daerah sepenuh masa yang dekat dengan masyarakat dan dilantik secara politik itu diharap mampu memimpin pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing dalam membawa perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.


“Pengerusi biasanya menjadi pegawai daerah yang tidak seperti sebelum ini, mempunyai banyak tugas dan tanggungjawab lain.


“Saya fikir kita harus bergerak ke hadapan selari dengan keadaan kerana majlis daerah kini mempunyai banyak cabaran, tugas dan tanggungjawab berbanding masa dahulu, justeru menjadi satu keperluan untuk mempunyai pengerusi sepenuh masa,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Engagement With Stakeholder Central Zone Local Government di sini hari ini.


Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata Majlis Daerah Marudi adalah satu-satunya majlis daerah yang mempunyai pengerusi sepenuh masa ketika ini.


“Hal ini memberi banyak perbezaan kerana pengerusi sepenuh masa mempunyai komitmen dan visi untuk melihat apa yang dirancang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan melihat apa yang ingin dilakukan oleh majlis demi kehidupan penduduk di kawasan luar bandar yang lebih baik,” katanya.


Selain itu, kementerian juga sedang meninjau kemungkinan perekayasaan hasil bagi meningkatkan dana untuk majlis daerah berkenaan.


Mengenai kawasan terbuka yang diberi untuk dijaga majlis daerah, beliau berkata PBT boleh memohon untuk mengasingkan kawasan itu supaya mereka boleh melakukan apa yang difikirkan perlu seperti tempat parkir kereta, gerai, tempat berniaga atau lokasi awam yang boleh menjana pendapatan kepada mereka.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.