Bekas setiausaha, bendahari UMNO bahagian direman tujuh hari

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman. Gambar kredit Sinar Harian

GEORGE TOWN—Dua lelaki yang merupakan bekas setiausaha dan bendahari UMNO Bahagian di Pulau Pinang direman tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah RM600,364.87.


Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Rosnee Mohd Radzuan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang terhadap kedua-dua individu berusia 49 dan 73 tahun itu, yang kedua-duanya juga pengarah sebuah yayasan.


Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka ditahan SPRM Pulau Pinang semalam selepas menerima aduan mengenai penyalahgunaan kuasa ketika mereka memegang jawatan itu.


Sekitar 2018, kedua-dua individu tersebut bersubahat dalam menggunakan kedudukan mereka bagi mendapatkan wang rasuah, melalui pengeluaran wang daripada akaun bank milik UMNO Bahagian untuk diri mereka serta kepada syarikat milik mereka.


Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


Kedua-dua lelaki berkenaan diwakili peguam, Norhisham Shaidi.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post