828 persatuan, badan sukan dibatalkan pendaftaran kerana tak aktif

Datuk Razim Mohd. Noor (tengah) semasa sesi dialog semasa Program Antirasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan Kepada Badan Sukan 2022 (Bantuan Pengurusan dan Program), di sini hari ini.  Gambar kredit Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia

PUTRAJAYA—Sebanyak 828 persatuan dan badan sukan dibatalkan pendaftarannya oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) setakat lapan bulan pertama tahun ini kerana didapati tidak aktif.


Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan Hatta Mohd Yasin berkata sejak 2014, daripada 12,263 badan sukan yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia, lebih 3,000 persatuan dan badan sukan dari pelbagai peringkat sudah dibatalkan pendaftarannya. 


"Statistik menunjukkan kira-kira dalam 800 (dibatalkan), disebabkan (antaranya) tadbir urus tidak menghantar laporan dalam tempoh masa lama, lebih dari tiga tahun. 


"Apabila dibatalkan, kesannya ialah persatuan terlibat tidak lagi boleh menghantar atlet mereka untuk bertanding dan bila dah dibatalkan, dari segi kewangan pun dibekukan juga," katanya kepada media selepas Program Antirasuah Pengurusan Bantuan Dana Kerajaan Kepada Badan Sukan 2022 (Bantuan Pengurusan dan Program), di sini hari ini. 


Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Razim Mohd Noor. 


Hatta berkata sebelum pembatalan dibuat, pihak PJS terlebih dahulu menghantar surat peringatan kepada badan dan persatuan terlibat untuk menghantar laporan dan dokumen diminta. 


Sementara itu, Razim berkata SPRM mendapati wujud aktiviti rasuah dalam industri sukan negara dari segi pengurusan dana dan sebagainya. 


"Bagi mereka yang tamak atau (hendak) cara mudah dapatkan duit, (menyebabkan) tujuan dana tu tidak sampai kepada golongan sasaran. 


"Apa yang penting di sini antara hasilnya ialah ada yang timbalan pendakwa raya bersetuju bawa ke mahkamah tetapi yang banyaknya terdapat kelemahan-kelemahan dalam tadbir urus persatuan-persatuan sukan berkenaan," katanya. 


Razim berkata SPRM juga bersedia membantu dan memberi kerjasama kepada badan atau persatuan sukan yang mahu memperkemaskan sistem dan tadbir urus mereka. 


"Antara tugas SPRM ialah menasihati mana-mana pihak untuk memperkemaskan sistem dan prosedur mereka bagi menutup ruang dan peluang dari berlakunya kejadian rasuah," katanya. 


Sementara itu, Razim dalam ucapannya berkata tindakan tegas berdasarkan undang-undang akan diambil jika berlaku sebarang bentuk salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa mahupun penyelewengan oleh mana-mana pihak dalam pentadbiran badan sukan negara. 


"Saya ingin mengingatkan kepada semua badan sukan agar tidak melindungi mana-mana ahli yang dikesan terlibat dengan jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa tidak kira sama ada kecil atau besar jumlahnya serta tidak kira juga sama ada yang terlibat itu adalah kepimpinan tertinggi mahupun ahli-ahli badan sukan," katanya. 


-- BERNAMA

Next Post Previous Post