4 hari hilang ketika keluar berburu


SIMUNJAN--Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika keluar berburu di hutan Kampung Kesindu, di sini, sejak malam Khamis lalu.


Mangsa, Yap Sio Pheng,40, keluar berburu bersama seorang rakannya pada jam 11 malam dan belum balik hingga hari ini.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan behubung kes itu jam 8.45 malam tadi dari Balai Polis Simunjan dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Simunjan ke lokasi kejadian. 


"Menurut rakan mangsa, Allison Lebai yang membuat laporan ke balai polis, dia bersama mangsa telah keluar berburu pada jam 11 malam hari Khamis.


"Mereka telah berhenti berehat di sebuah pondok pada jam 5 pagi Jumaat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, selepas berehat dia berjalan terlebih dahulu manakala mangsa masih berada di pondok terbabit.


"Setelah berjalan beberapa langkah dia mendengar suara mangsa  memanggil, setelah berpatah balik semula ke pondok itu didapati mangsa telah tiada di pondok itu lagi. 


"Allison telah membuat pencarian, namun gagal menemui mangsa, sebelum pulang ke kampung dan membawa seorang rakan untuk mencari mangsa pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, namun mangsa masih gagal ditemukan," ujarnya.


Katanya, pada hari Sabtu rakannya telah ke rumah mangsa di Kampung Sebangkoi, namun gagal menemui mangsa, penduduk kampung turut memaklum tidak melihat mangsa berada di kawasan kampung. 


"Sehubungan itu, pada jam 8.30 malam tadi rakannya bersama Ketua Kampung telah membuat laporan kehilangan mangsa ke Balai Polis Simunjan.


"Dalam operasi mencari dan menyelamat(SAR) hari ini, operasi pencarian dijalankan dalam dua kilometer dari tempat mangsa hilang," katanya.


Katanya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 1.36 tengah hari atas arahan dari pihak polis dan akan bersambung esok hari.

Next Post Previous Post