2 pengedar ditahan, dadah bernilai lebih RM90,000 dirampas

ACP Mohamad Fakhrudin menunjukkan sebahagian dadah dan wang tunai yang berjaya dirampas semasa sidang media di sini hari ini. Gambar kredit Polis Petaling Jaya

PETALING JAYA— Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah seberat hampir 32 kilogram (kg) bernilai RM91,610, dalam dua serbuan berasingan di sebuah pangsapuri di Damansara dekat sini 13 Sept lepas.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam serbuan pertama pada 5.30 petang di kawasan letak kereta di pangsapuri itu, pihaknya berjaya menahan suspek pertama berusia 40 tahun.


“Pemeriksaan polis telah menemukan 31 ketulan mampat seberat 31,368 gram (g) disyaki ganja dalam but kereta milik suspek, dipercayai baharu diperoleh daripada utara tanah air,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Mohamad Fakhrudin berkata melalui maklumat daripada tangkapan pertama, polis kemudian menyerbu sebuah unit pangsapuri di lokasi sama 30 minit kemudian dan menahan suspek kedua berusia 31 tahun.


“Polis menemui 184 biji pil Yaba dan 130g syabu di ruang tamu dan dapur pangsapuri berkenaan,” katanya.


“Siasatan mendapati suspek kedua baru dibebaskan enam bulan lepas atas kesalahan membabitkan dadah, selepas dipenjarakan selama sembilan tahun,” katanya.


Mohamad Fakhrudin berkata turut dirampas dalam kedua-dua serbuan berkenaan seutas rantai emas, sebuah kereta jenis Honda City dipercayai dibeli hasil penjualan dadah dan wang tunai berjumlah RM34,500.


Beliau berkata keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM193,510, dan kesemua dadah itu boleh dibekalkan kepada 31,500 penagih, manakala kedua-dua suspek dipercayai bergerak aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lepas.


“Kedua-dua mereka mempunyai sembilan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, selain positif dadah jenis methamphetamine dan direman selama tujuh hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post