Tiga anggota polis disyaki curi wang RM45,000 ketika serbuan

Tiga anggota polis, Polis Curi wang, Sarawak Update, Berita Sarawak terbaru
Gambar hiasan 

KOTA BHARU—Seorang anggota polis berpangkat inspektor bersama dua konstabel ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengambil sejumlah wang ketika melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai dekat sini Selasa lepas (26 Julai).


Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan tiga anggota berusia antara 20-an dan 30-an itu dilakukan pada Sabtu lepas (30 Julai) selepas menerima laporan daripada seorang pengadu wanita.


Beliau berkata berdasarkan aduan yang diterima, wanita berusia 68 tahun itu memaklumkan pada 4.30 petang Selasa lepas rumahnya didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis bagi menahan anak lelakinya berhubung kesalahan dadah.


"Wanita itu mendakwa polis tersebut telah meminta anak kunci almari dan menggeledah almari kayu yang berada di dalam biliknya sebelum mengambil wang hasil jualan tanah dan santan berjumlah kira-kira RM45,000 untuk sitaan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.


Menurutnya pengadu kemudian telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai tetapi dimaklumkan hanya wang berjumlah RM4,500 sahaja yang disita.


Muhamad Zaki berkata pegawai dan anggota polis yang ditahan itu kini direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan.


Katanya sehingga kini tiada pengakuan daripada ketiga-tiga yang ditahan dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.


"Serbuan ke rumah tersebut sebenarnya bagi menahan anak lelaki pengadu berusia 20-an, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.