Tiada kerjasama pemilik tanah sukarkan pembinaan menara telekomunikasi, kata Julaihi

Pemilik tanah, Pembinaan menara telekomunikasi, Julaihi, Berita Malaysia
Simbolik pelancaran Projek “Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication” (SMART) di Rumah Empawi, Nanga Sekukut di Ulu Yong di sini hari ini.

KAPIT—Pemilik tanah di seluruh Sarawak diminta untuk memberikan keizinan supaya tanah mereka dilalui bagi membolehkan pembinaan menara telekomunikasi dilaksanakan dengan lancar dan cepat.


Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata tiadanya kerjasama itu akan menimbulkan kesulitan bagi menyediakan kemudahan yang penting kepada pembangunan ekonomi digital negeri itu yang berusaha mencapai status wilayah maju berpendapatan tinggi pada 2030.


"Pada masa anda meminta supaya kesalinghubungan dipercepatkan, kerajaan juga mahu tiada halangan di dalam pelaksanaan pembinaan menara-menara telekomunikasi ini," katanya kepada pemberita selepas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi melancarkan Projek “Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication” (SMART) di Rumah Empawi, Nanga Sekukut di Ulu Yong di sini hari ini.


Katanya keizinan itu penting bukan setakat bagi pembinaan menara atau penyambungan kabel gentian optik, bahkan kemudahan utiliti lain seperti paip air dan kabel elektrik, dan setiap tanah yang dilalui oleh projek-projek sedemikian akan dibayar pampasan mengikut nilai semasa tanah berkenaan.


Menyentuh projek SMART di sini, beliau berkata ia merupakan antara komponen inisiatif “Sarawak Linking Urban, Rural and Nation” (SALURAN) kerajaan negeri untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan menambah baik liputan 4G di kawasan luar bandar.


Julaihi berkata menerusi projek SMART itu, syarikat telekomunikasi kini dapat memanfaatkan infrastruktur dan peralatan yang dilaburkan kerajaan untuk meluaskan jejak liputan mereka ke kawasan luar bandar dengan memanfaatkan Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN). 


“Dengan teknologi ini, kos operasi untuk pengendali arus perdana dapat dikurangkan dengan ketara dan dikongsi sama rata. Selain daripada menyediakan perkhidmatan mudah alih, inisiatif SMART juga membolehkan perkhidmatan jalur lebar rumah melalui MySRBN (Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak),” katanya.


Sebanyak 51 projek SMART telah dirancang dan akan dilaksanakan di seluruh Bahagian Kapit dengan 14 daripadanya di bawah fasa pertama, manakala selebihnya akan disiapkan di bawah fasa kedua. 


Sementara itu, Abang Johari dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Julaihi sebelum itu berkata SMART akan menjadi pemangkin realisasi usaha pendigitalan di kawasan luar bandar seluruh Sarawak.


Menurutnya dengan adanya SMART, akses kepada pendidikan berkualiti tinggi sepanjang masa akan meningkatkan tahap literasi tetapi juga turut membuka pandangan baharu dan peluang kepada pelajar dan guru di kawasan pedalaman. 


"Menerusi SMART, rakyat Sarawak di kawasan pedalaman dapat mencipta kekayaan, meningkatkan kemahiran digital serta mendapat akses kepada pengetahuan," katanya.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.