Tak ada apa, Najib sihat - Rosmah

Najib sihat, Rosmah, Berita Malaysia
Rosmah Mansor ketika hadir Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan kepada Najib. Gambar kredit Urban Lites

KUALA LUMPUR—Datin Seri Rosmah Mansor mengesahkan suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjalani hukuman penjara bermula Selasa, dalam keadaan sihat.


“Tak ada apa, Datuk Seri sihat, Alhamdulillah,” kata isteri bekas perdana menteri itu ketika ditanya keadaan suaminya, sebelum meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 3.39 petang.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir ke mahkamah hari ini untuk memberi sokongan.


Rosmah, 70,  yang berbaju kurung dan berselendang merah jambu, tiba di mahkamah pada 12.20 tengah hari bagi mengikuti perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi suaminya.


Terdahulu peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dalam perbicaraan kes 1MDB, enggan mengulas keadaan anak guamnya ketika ditanya media.


“Saya tidak boleh kata apa-apa… Saya tidak akan kata apa-apa, kerana anda akan pusing dan ubah perkataan kami, malah ketika di mahkamah.


“Pergilah cari sendiri,” katanya kepada pemberita di luar kompeks mahkamah di sini.


Sebelum itu anak perempuan Najib, Nooryana Najwa juga enggan mengulas keadaan bapanya ketika ditemui media, sebelum beliau meninggalkan kompleks mahkamah pada 1.33 petang.


Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.