Suami isteri antara yang ditahan dalam Op Tapis

ACP Zulkipli Suhaili

SIBU--  Pasangan suami isteri antara seramai 32 individu yang ditahan dalam Op Tapis, dijalankan oleh  Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bermula 27 hingga 29 Julai.


Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, semua yang ditahan membabitkan 26 lelaki dan enam wanita berumur dalam lingkungan 25 hingga 60 tahun.


“Daripada semua yang ditahan, dua lelaki dan tiga wanita termasuk pasangan suami isteri warganegara asing berusia antara 28 hingga 59 tahun.


Mereka ditangkap di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Lima lagi warga tempatan berusia antara 30 hingga 45 tahun diitangkap di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dengan jumlah rampasan dadah jenis methamphatamine sebanyak 0.96 gram.


Beliau menambah, ujian saringan awal polis ke atas kesemua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphatamine dan amphatamine.


“Hukuman bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM100.000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Katanya, seramai 21 lagi suspek termasuk tiga wanita warga tempatan berusia antara 28 hingga 55 tahun ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(A) ADB 1952.


“Ujian saringan air kencing didapati positif dadah methamphatamine dan amphatamine. Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.


Zulkipli menambah, 10 daripada suspek termasuk pasangan suami isteri  itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan, manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis.


 
Katanya, sepanjang Op Tapis ini, majoriti tangkapan suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun iaitu 13 orang.


“Operasi seumpama ini merupakan satu usaha polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di negara ini khususnya di daerah Sibu.


“Pihak PDRM Sibu menasihatkan orang ramai, sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah boleh menyalurkan kepada pihak IPD Sibu di talian 084-322222.

Next Post Previous Post