Selamatkan ikan paus yu masuk pukat, aksi sekumpulan penyelidik mendapat pujian warganet



KUCHING—Tindakan sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perikanan, Bintawa melepaskan paus yu yang memasuki pukat mereka semasa menjalankan aktiviti kajian laut di laut dalam dekat perairan Santubong yang tular di media sosial mendapat pujian warganet. 



Video yang dimuat naik salah seorang dari kumpulan penyelidik tersebut, Mohammad Hafiz Hassan di laman Facebooknya menjadi perhatian dan dikongsi lebih 1,000 pengguna. 



Rata-rata warganet mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas usaha kumpulan tersebut melepaskan ikan paus yu berkenaan. 


Mohammad Hafiz ketika dihubungi menerusi aplikasi media sosial itu hari ini berkata, paus yu dengan nama saintifik π˜™π˜©π˜ͺ𝘯𝘀𝘰π˜₯𝘰𝘯 𝘡𝘺𝘱𝘢𝘴 itu dianggarkan sepanjang 10 meter, telah masuk dalam pukat mereka ketika menjalankan aktiviti kajian laut, Verifikasifsi Tuna 2022. 



"Lokasi kira-kira 60 batu nautika dari Santubong. Ikan paus yu ini disedari masuk dalam pukat kita semasa kita sedang menarik pukat dan ia disedari oleh tekong kapal. 


"Disebabkan itu, kami berusaha melepaskan ikan paus yu ini dengan memotong pukat dengan pisau bagi membolehkan ikan paus yu ini melaluinya," katanya. 



Jelasnya lagi, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk melepaskan ikan paus yu berkenaan daripada pukat tersebut. 


"Syukur alhamdulillah ikan paus yu tersebut berjaya dilepaskan dari pukat," ujarnya. 



Mengenai kajian itu, beliau memberitahu ia dijalankan pada Rabu lalu, disertai seramai 15 orang dari Institut Penyelidikan Perikanan, Bintawa. 


"Kami menggunakan kapal untuk melakukan kajian berkenaan," jelasnya lagi.
Next Post Previous Post