-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Sarawak sedia tambah kerusi DUN - speaker

| Ogos 18, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-18T08:58:52Z

Asfia semasa merasmikan Siri Jelajah Parlimen dan DUN: Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan KDNK Negeri Sarawak 2021 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching ( BCCK), Sejingkat, di sini,hari ini.


KUCHING—Kerajaan Sarawak bersedia menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) demi memastikan rancangan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat yang lebih baik pada masa hadapan.


Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata dapatan pecahan penduduk mengikut daerah yang diperoleh daripada Banci Malaysia 2020 membolehkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menetapkan penambahan jumlah kerusi yang diperlukan. 



“Statistik tersebut sangat berguna dan ia terserah kepada Ahli Parlimen dan ADUN untuk memanfaatkan maklumat itu untuk rakyat di kawasan Parlimen mereka.


“Kita gunakan data statistik ini untuk mengetahui berapa kerusi DUN dan Dewan Rakyat yang nak ditambah mengikut pecahan penduduk,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Siri Jelajah Parlimen dan DUN bagi Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2021 Sarawak hari ini.


Mohamad Asfia memberi contoh DUN Senadin dan DUN Tupong yang mungkin boleh dipecahkan kerana mempunyai jumlah penduduk tinggi iaitu sekitar 132,000 dan 91,000 orang.


“Di peringkat DUN mudah, tetapi cabarannya di Dewan Rakyat kerana kerajaan (Persekutuan) tidak mempunyai majoriti dua pertiga,” katanya yang memaklumkan penambahan kerusi Parlimen di negeri ini tidak sempat dilakukan bagi Pilihan Raya Umum ke-15.


Kali terakhir persempadanan semula kerusi DUN Sarawak adalah pada 2015 iaitu daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi.


Dalam pada itu, Mohamad Asfia berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai larangan wakil rakyat bertukar parti akan dibentangkan dalam masa terdekat sebelum persidangan ketiga DUN November ini. 


Terdahulu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata Sarawak mencatatkan pertumbuhan KDNK 2.9 peratus yang didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan. 


Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya Banci 2020 memaklumkan negeri itu merekodkan 2.45 juta orang penduduk dengan purata kadar pertumbuhan tahunan 0.2 peratus bagi tempoh 2011 sehingga 2020.


“Selain itu, komposisi penduduk umur tua (65 tahun dan lebih) di Sarawak mencatatkan 7.5 peratus berbanding 6.8 peratus di peringkat Malaysia,” katanya dalam pembentangannya mengenai penemuan utama banci Sarawak.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update