Notification

×

Iklan

Iklan

Sarawak belanja RM300 juta biayai kos operasi vaksinasi Covid-19

| Ogos 28, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-28T05:21:16Z

SIBU—Sarawak membelanjakan RM300 juta untuk membiayai kos keseluruhan operasi vaksinasi sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah berkata peruntukan itu digunakan bagi membiayai perkhidmatan sokongan termasuk pengangkutan menghantar vaksin ke kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.


Katanya, dana tersebut juga digunakan untuk menampung kos pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) serta pusat kuarantin di hotel, selain kos menganalisa ujian calitan yang ditingkatkan daripada 2,500 sehari kepada 6,000 sehari ketika kes mencatatkan peningkatan mendadak.


“Pada September 2021, Sarawak mencatat sehingga 5,000 kes sehari. Kalau seorang positif kita perlu membuat pemeriksaan ke atas 10 orang kontak rapat, calitan ini kita bayar, ada yang kita hantar ke Kuala Lumpur dan ada juga dihantar ke pihak swasta di Sarawak,” katanya kepada media selepas menghadiri Malam Apresiasi Bersama Barisan Hadapan COVID-19 Zon Tengah di sini malam semalam.


Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 petugas barisan hadapan dari pelbagai agensi kerajaan dari bahagian dan daerah di wilayah tengah Sarawak.


Uggah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), berkata jumlah penduduk Sarawak yang layak dan telah mendapatkan dos penggalak kedua setakat ini masih rendah iaitu 7.1 peratus.


“Ini sangat rendah. Kita mohon kepada orang ramai yang belum dapat dos penggalak kedua supaya berbuat demikian dengan segera,” katanya.


 -- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update