RUU larang tukar parti sudah dipersembahkan kepada Agong, Wan Junaidi

Wan Junaidi ceria bergambar bersama anak-anak penduduk Kampung Bako Hilir semasa majlis Kenduri Rakyat di sini hari ini.


KUCHING—Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 Anti Lompat Parti telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenan dalam masa terdekat.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata RUU tersebut telah dipersembahkan sekembalinya Yang di-Pertuan Agong dari Turkiye dua hari lepas.


Wan Junaidi ketika sidang media pada Majlis Kenduri Rakyat Kampung Bako Hilir di sini hari ini.


“Duli Tuanku ada bertanya kepada saya berkenaan RUU itu dan kita telah mempersembahkan untuk diperkenan.


Justeru itu, berilah masa dalam seminggu ini kepada Duli Tuanku untuk meneliti RUU dahulu. Jika ada perkara yang perlu diperjelaskan, Tuanku akan memanggil Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) memberi penjelasan,” katanya,” pada sidang media Majlis Kenduri Rakyat Kampung Bako Hilir di sini hari ini.




Dalam pada itu, Ahli Parlimen Santubong tersebut menzahirkan keyakinan bahawa pelaksanaan RUU boleh dikuatkuasakan minggu kedua September depan.


Beliau berkata, proses penguatkuasaan RUU melibatkan dua peringkat dan pertama adalah di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mempersembahkan RUU kepada Yang di-Pertuan Agong.


“Selepas itu, RUU berkenaan akan dikembalikan kepada Pejabat Peguam Negara dan ke pejabat saya untuk kita memohon semula kepada Duli Tuanku agar ia diperkenankan sebelum dikuatkuasa,” katanya.


Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Santubong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), secara ringkas beliau memberi bayangan bakal bertanding semula di kerusi itu.


“Orang baik jangan ‘diretire’ (disuruh bersara) dulu,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata beberapa perkampungan tradisi di kawasan Parlimen berkenaan akan dibangunkan menjadi perkampungan moden.


Katanya, beliau merancang untuk membuka kawasan baharu menggunakan konsep perumahan Darul Hana di Petra Jaya untuk membangunkan kampung tradisi di kawasan Parlimen Santubong.


"Sehubungan itu, perbincangan sedang dijalankan dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi mendapatkan tapak sesuai untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Next Post Previous Post