Rakyat Jerman bimbang harga gas terus meningkat

Rakyat Jerman bimbang, harga gas meningkat, Jerman
Harga tenaga yang terus meningkat meresahkan golongan yang berpendapatan rendah. Gambar hiasan kredit unsplash

BERLIN— Beribu-ribu isi rumah di seluruh Jerman bimbang mereka mungkin tidak dapat menampung kenaikan kos gas untuk pemanasan semasa musim sejuk akan datang.


Timbalan Pengarah Urusan Persatuan Penyewa-penyewa Berlin, Wibke Werner, memberitahu Agensi Anadolu bahawa ahli persatuan itu menyatakan mereka amat bimbang dengan peningkatan kos tenaga dan tidak banyak yang boleh dilakukannya untuk membantu.


“Oleh kerana harga tenaga yang terus meningkat, orang ramai menjadi sangat bimbang, terutama mereka yang berpendapatan rendah. Mereka menghubungi kami dan bertanya apa yang mereka boleh lakukan untuk menjimatkan tenaga dan dapat menampung kos yang semakin meningkat ini.


"Ini adalah masalah besar. Kami tidak boleh mengesyorkan kepada orang ramai untuk menabung sedangkan mereka tidak mempunyai wang, dan banyak isi rumah juga sudah tidak mampu menanggungnya kerana sewa di Berlin juga meningkat, jadi ia sangat sukar," katanya.


Menurut laman sesawang perbandingan harga pengguna Verivox, purata harga gas meningkat sehingga 184 peratus berbanding Ogos 2021.


Bagi sesetengah isi rumah persendirian, Verivox berkata kos tenaga telah meningkat empat kali ganda. Kos penggunaan tahunan gas untuk sebuah keluarga di Jerman tahun lepas adalah sekitar €1,250 (US$1,276).


Bagaimanapun, kini mereka terpaksa membayar sekitar €3,500 (US$3,574) bagi penggunaan jumlah gas yang sama setiap tahun.


Kerajaan Jerman sedang mempertimbangkan undang-undang yang membenarkan tuan rumah mengurangkan suhu pemanasan pusat daripada 22 darjah Celsius kepada 17 darjah Celsius semasa musim sejuk untuk penyewa mereka.


Tetapi, itu termasuk pengecualian untuk orang yang mempunyai masalah kesihatan.


Werner turut merayu kerajaan bertindak dan membantu mereka yang berpendapatan rendah.


"Kami fikir kerajaan perlu memberi beberapa jenis subsidi untuk rakyat, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah, dan ia perlu dilakukan tanpa perlu menunggu rakyat memintanya. Mereka harus memudahkannya."


Beliau berkata kerajaan perlu menghapuskan halangan birokrasi dan memudahkan rakyat mendapatkan subsidi tanpa perlu membuktikan keadaan kewangan mereka.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar