Kerajaan gesa SPRM segerakan siasatan LCS

Kerajaan gesa SPRM, Siasatan LCS, Kapal Tempur Pesisir, Berita Malaysia
Gambar kredit Utusan Online

KUALA LUMPUR—Jemaah Menteri hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyegerakan siasatan berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Beliau berkata perkara berkenaan yang dibincangkan secara terperinci pada Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut meminta Peguam Negara agar membuat pendakwaan sekiranya terdapat bukti kukuh serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.


“Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Ismail Sabri berkata beliau telah memanggil Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat itu dan meminta mereka untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat.


Menegaskan bahawa kerajaan memandang serius isu LCS, Perdana Menteri berkata Mesyuarat Jemaah Menteri juga memutuskan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.


Selain itu, Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada 2019 dinyahklasifikasikan, namun proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.


“Keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan mengganggu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022,” katanya.


Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk meneruskan projek LCS atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Khamis lepas, PAC mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 Nov 2020 mendapati tiada satu kapal LCS telah disiapkan walaupun kontrak projek itu yang diberikan secara rundingan terus bernilai RM6.083 bilion itu memperuntukkan lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah setakat Ogos 2022.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.