PSB kesal tindakan See Chee How keluar parti, pertimbang ambil tindakan ikut lunas undang-undang

(dari kiri) See Chee How dan Wong Soon Koh

KUCHING—Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengakui ada menerima surat perletakan keahlian ADUN Batu Lintang See Chee How yang mahu keluar dari parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas.


Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, pihaknya kesal dengan tindakan See itu selepas memenangi kerusi DUN Batu Lintang atas tiket PSB pada Pilihan Raya Negeri lalu.


"PSB amat kesal dengan tindakan See meletak jawatan sebagai ahli selepas beliau memenangi kerusi Batu Lintang pada Pilihan Raya Sarawak yang lalu sebagai wakil PSB.


"See menyedari sepenuhnya sokongan dan sumber yang diberikan oleh PSB serta penyokong PSB kepadanya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tambah Wong, See juga menyedari sepenuhnya ikrar lisan dan bertulis yang telah beliau berikan kepada PSB sebelum beliau dipilih menjadi calon PSB di kawasan Batu Lintang.


"Ini termasuk aku janji untuk membayar pampasan kepada parti jika beliau memilih untuk meletakkan jawatan selepas memenangi kerusi sebagai calon PSB.


"Ia juga termasuk aku janji untuk melepaskan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika beliau meletakkan jawatan daripada PSB selepas memenangi kerusi itu," jelasnya.


Tegasnya lagi, See adalah seorang peguam kanan dan beliau tahu apa yang beliau akuan secara bertulis sebelum beliau diberikan Surat Watika untuk mewakili PSB pada Pilihan Raya Sarawak yang lalu.


"Dari segi prinsip, PSB akan memanfaatkan segala tindakan yang perlu berhubung dengan akuan yang telah dibuat oleh See," ujarnya.


Dengan tindakan See itu, PSB kini mempunyai tiga wakil rakyat di DUN iaitu Bawang Assan diwakili Wong sendiri, Dr Johnicol Rayong Ngipa (Engkelili) dan Baru Bian (Ba'kelalan).

Next Post Previous Post