Petronas ikrar bebas rasuah

Majlis menandatangani  Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) semalam.

KUALA LUMPUR—Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) semalam menandatangani  Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  bagi memperkukuhkan lagi azam syarikat untuk menjadi organisasi bebas rasuah.


Majlis membaca dan menandatangani ikrar bertempat di Menara Kembar PETRONAS itu diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, YM Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz serta disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki serta Pengerusi Lembaga Pengarah PETRONAS, Tan Sri Bakke Salleh.



Tan Sri Azam dalam ucapannya berkata, majlis berkenaan menzahirkan komitmen pengurusan tertinggi PETRONAS berkaitan integriti antirasuah dan tadbir urus sepertimana yang dikehendaki oleh Garis Panduan Tatacara Mencukupi yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.


"PETRONAS telah berjaya menzahirkan inisiatif-inisiatif antirasuah dan pematuhan secara total terhadap kesemua arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan seperti penubuhan Integrity and Governance Unit (IGU) dan perlaksanaan Pelan Anti-Rasuah Organisasi ataupun Organisational Anti-Corruption Plan (OACP).


"Pematuhan kepada semua inisiatif-inisiatif ini merupakan elemen penting dalam memastikan sesebuah organisasi telah memperolehi tatacara yang mencukupi selaras dengan peruntukan liabiliti korporat," ujar beliau.


IBR diperkenalkan SPRM pada 2018 sebagai inisiatif badan itu dalam memberi penekanan kepada ikrar dan janji dibuat kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu.


Ia adalah untuk memastikan setiap individu yang menandatangani IBR akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka serta menjauhkan diri daripada perlakuan rasuah selama mereka memegang sesuatu jawatan itu.


Sehingga kini, sebanyak 1,802 entiti termasuk syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kementerian telah menandatangani ikrar bagi menzahirkan komitmen antirasuah.

Next Post Previous Post