Penjawat awam maut, motosikal rempuh lori sampah


LIMBANG--Seorang penjawat awam maut selepas  motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori sampah di Kilometer 5, Jalan Kubong berhampiran Kampung Malagangai pada Rabu.


Kemalangan kira-kira 6.35 petang itu, menyebabkan  mangsa berusia 55, berasal dari Sri Aman  meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata ketika kejadian,  lori sampah  terbabit sedang melakukan kerja memunggah sampah menghala ke Kubong, manakala mangsa  yang berseorangan daripada arah Limbang menuju ke Kubong.

 

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang  dalam perjalanan pulang ke rumah dipercayai hilang kawalan lalu merempuh  bahagian belakang lori sampah terbabit  sebelum terjatuh di laluan belakang lori sampah itu,”katanya dalam kenyataan hari ini.


 Beliau berkata, mangsa  disahkan meninggal dunia ditempat kejadian manakala pemandu lori dan dua  kelindan lori yang memunggah sampah ketika kejadian tidak cedera.



Kes disiasat  di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan  (APJ)1987.

Next Post Previous Post