Murid Tahun 3 di Serian mangsa baharu Rabies?


SERIAN-- Seorang murid Tahun 3 dari sebuah sekolah kebangsaan (SK) di sini dikatakan menjadi korban baharu wabak Rabies di negeri ini. 


Menurut satu kenyataan yang tular di aplikasi WhatsApp, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dikatakan telah meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada jam 10 pagi tadi. 



"Dimaklumkan di sini bahawa seorang murid lelaki Tahun 3 SK St Alban Ampungan Serian telah meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak jam 10.00 pagi tadi, dimaklumkan oleh pihak doktor pakar dijangkiti virus Rabies. 


"Mayat mangsa sudah sampai di kampung jam 3.30 petang tadi," kata kenyataan itu. 



Jelasnya lagi, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga dikatakan  telah beberapa kali datang ke sekolah berkenaan bagi menyiasat kes serta mengistiharkan Serian dan Siburan sebagai zon merah untuk wabak rabies.


"Dengan itu mohon kita semua sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga perihal murid-murid kita, keluarga kita, komuniti kita dan diri kita sendiri," ujarnya. 


Mengulas lanjut kronologi kes itu, murid terbabit hadir ke sekolah pada 5 Ogos 2022 dan mengalami demam panas melampau pada 6 Ogos 2022. 


Dia kemudian dikatakan telah dibawa dan dimasukkan ke Hospital Serian pada 7 Ogos 2022 sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 8 Ogos 2022.


Pada 9 Ogos, dia telah ditidurkan oleh pihak pakar Hospital Umum Sarawak dan dalam keadaan koma pada 11 Ogos 2022. 


Pada 15 Ogos 2022, keadaan fizikal murid terbabit dilaporkan sangat kritikal dan disahkan meninggal dunia pada 17 Ogos 2022. 

Next Post Previous Post