Notification

×

Iklan

Iklan

Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah ubah wang haram RM2.04 juta

| Ogos 17, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-08-17T13:32:59Z
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan pengubahan wang haram. Gambar kredit Sinar harian

RAUB— Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.04 juta.


Norida Syakira Agus Yadi, 28, yang beralamat di Banting, Selangor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.


Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 8 Jan 2021 hingga 20 Jun 2021, menerusi akaun syarikatnya DSS Berkat Enterprise di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Lipis, dekat sini. 


Norida Syakira didakwa melakukan kesalahan itu dengan membeli perniagaan sushi bernilai RM1.317 juta selain memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM242,770, RM369,700 dan RM32,500 serta didakwa telah melupuskan wang berjumlah RM80,000. 


Dia dituduh mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.


Timbalan Pendakwa Raya AMLA Rohaiza Zainal menawarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, memandangkan tertuduh telah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah itu, selain empat pertuduhan di Mahkamah Majistret Shah Alam melibatkan nilai jutaan ringgit pada 24 Feb lepas. 


Bagaimanapun, peguam M. Manoharan yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak berkeupayaan untuk membayar jaminan setelah menjelaskan jaminan sebanyak RM17,500 di Shah Alam dan berharap jaminan itu boleh diguna pakai di sini. 


"Tertuduh telah kehilangan kerja selepas dihadapkan ke mahkamah sebelum ini dan suaminya juga tidak bekerja. Tertuduh mempunyai sepasang anak berusia lapan dan setahun dan mereka sangat rapat dengan tertuduh,” katanya. 


Mahkamah membenarkan Norida Syakira diikat dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Hakim turut membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. 


-- BERNAMA 

×
Berita Terbaru Update