MINDEF beri kerjasama penuh siasatan LCS, Hishammuddin

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR— Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memberi kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan berhubung isu perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS).


Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerjasama itu termasuk kepada badan siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta Audit Forensik.


“Saya dan barisan kepimpinan di MINDEF tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan sebaliknya hanya mahukan perkara ini dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara.


“MINDEF juga memberi jaminan bahawa keputusan Kabinet ini tidak akan mengganggu tiga perkara yang telah saya tegaskan beberapa kali sebelum ini. Pertama, TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada April (lepas),” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata perkara kedua ialah pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan manakala ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, MINDEF sedang giat melakukan kerja rundingan dengan pihak OEM (Original Equipment Manufacturer), vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS disiapkan.


“Penting untuk semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS, demi memastikan TLDM dapat memiliki LCS yang sangat mereka perlukan dengan secepat mungkin,” katanya yang turut mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu itu hari ini.


Sementara itu, bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana (B) Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin ketika mengulas mengenai pelancaran LCS 1 di Lumut pada 2017 berkata pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis TLDM sejak sekian lama.


 Beliau berkata dakwaan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada 2017 itu dilaksanakan untuk menipu dan mengelirukan orang ramai adalah tidak benar dan orang ramai perlu tahu bahawa yang dilancarkan ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan dan bukannya dummy. 


“Bukan pertama kali di Lumut pada 2017. Malah, ini juga amalan biasa di negara-negara lain. Maklum balas orang awam tentang di mana kapal, mengapa lancar kalau masih tidak siap? Ini saya boleh faham dan hormati.


“Cuma, apabila fitnah seperti ini ditularkan, saya terpanggil untuk membetulkan persepsi negatif bagi melindungi maruah dan nama baik TLDM. Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis.


“Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup kelirukan orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini. 


Menurutnya pada 11 Dis 2021, perkara itu juga disebut oleh Kapt (B) Ir. Azhar Jumaat dalam sesi menghadap PAC.


Beliau berkata di negara lain misalnya, semasa pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk Kerajaan UAE di Perancis, kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post