Menangis punca anak saudara didera hingga mati

Gambar hiasan kredit unsplash

KUALA LUMPUR— Seorang wanita warga tempatan ditahan polis hari ini kerana disyaki mendera dan menyebabkan kematian anak saudara lelakinya berusia tiga tahun dalam kejadian di Kepong di sin, semalam.


Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai, berkata, suspek berusia 40 tahun itu bekerja sebagai pengasuh mangsa dan abangnya yang berusia lima tahun.


Beliau berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan Sistem MERS 999 berkenaan kematian seorang kanak-kanak di sebuah pangsapuri di Kepong kira-kira jam 12 tengah hari semalam.


"Setibanya di lokasi, polis menemukan mangsa terbaring di dalam katil kanak-kanak lengkap berpakaian dan pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan luka di dahi, mulut, hidung, kesan merah bawah mata kiri, calar dan lebam di belakang badan serta siku kanan mangsa.


"Mangsa disahkan mati oleh pegawai paramedik dari Hospital Kuala Lumpur dan polis masih menunggu hasil laporan bedah siasat," katanya dalam kenyataan malam ini.


Beh berkata suspek mula menjaga mangsa sejak lahir dan punca mangsa didera dipercayai kerana menangis serta membuat bising keterlaluan.


Menurutnya suspek direman selama lima hari sehingga 20 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.


"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-4048 2206," katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post