Mayat lelaki dengan kesan lebam di dahi, kepala ditemukan di Permyjaya

Gambar hiasan

MIRI—Mayat seorang lelaki warga tempatan yang hanya berseluar pendek dengan terdapat kesan lebam di dahi dan kepala ditemukan terbaring di dalam sebuah rumah kosong di Lorong 5 Permyjaya petang semalam.


Berikutan penemuan itu, seramai lapan individu termasuk seorang wanita berusia antara 26 sehingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan polis.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya telah menerima satu panggilan dari orang awam semalam sekitar 4.30 petang mengenai penemuan mayat tersebut.


"Sepasukan Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan di kawasan tersebut telah menemukan mayat seorang lelaki terbaring dengan hanya memakai seluar pendek," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Punca kematian belum dapat dikenalpast dan mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Umum Miri untuk dibedah siasat. 


Kes ini diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Sementara itu pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan. 


Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke balai polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Noor Asri Ibrahim di talian 085-427093 untuk menyalurkan maklumat berkaitan. 

Next Post Previous Post